INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM

25 03 2008

بسم الله الرحمن الرحيم

INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM

 

 

Pendahuluan

 

 

Pendidikan memainkan peranan penting dalam proses pembinaan sebuah negara dan ummah. Ia menjadi saluran penting bagi penerusan budaya sesuatu bangsa disamping membentuk dan melahirkan suatu fenomena baru yang dapat mengubah tamadun sesuatu bangsa dan Negara. Pendidikan yang berkesan bukanlah sesuatu yang sudah dicipta secara semula jadi dan bukanlah berlaku secara kebetulan, akan tetapi ia adalah satu proses yang lama yang berkait rapat dengan kewujudan manusia di muka bumi ini. Proses ini juga adalah berterusan dan akan terus kekal selagi wujudnya alam yang fana ini. Perkembangan pendidikan pula berkait rapat dengan perkembangan institusi pendidikan yang menjadi pusat penyebarannya. Sejak lahirnya agama Islam hinggalah sekarang institusi pendidikan Islam telah mengalami banyak perkembangan samada fungsi maupun fizikalnya bermula dari rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam hinggalah institusi pendidikan tinggi Islam masa kini. Tugasan ini akan menyentuh sepintas lalu perkembangan institusi berkenaan dengan menyentuh bentuk dan peranan yang dimainkan dalam perkembangan pendidikan Islam.

 

Definisi

Institusi bermaksud organisasi yang ditubuhkan untuk tugas tertentu seperti pendidikan , penyelidikan saintifik dan lain-lain. ( Kamus Dewan Edisi Ketiga,2000 ). Pendidikan pula mempunyai makna yang bermacam-macam di kalangan pemikir pendidikan dan perbezaan ini berkait rapat dengan latar belakang pengalaman dan pendidikan mereka. Plato memberikan makna pendidikan sebagai keindahan dan kesempurnaan yang mungkin diberikan kepada jasmani dan rohani. Professor Hassan Langgulung pula menyatakan pendidikan itu merubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses” ( Wikipedia Bahasa Melayu, Ensiklopodia Bebas ).

Selain itu konsep pendidikan juga dapat dilihat dari sudut bahasa di mana ia berakar umbi daripada perkataan didik yang bererti pelihara, ajar dan jaga. Setelah dijadikan analogi, pendidikan booleh dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk menjaga dan memlihara pembesaran tubuh badan dan pertumbuhan bakat manusia dengan rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku dan dapat mengekalkan nilai-nilai budaya di kalangan masyarakat

Pendidikan menurut Islam pula boleh dimaksudkan dengan “satu proses berterusan untuk merubah, melatih dan mendidik akal jasmani dan rohani manusia berdasarkan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah Taala untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

.

Institusi Pendidikan Islam

Pendidikan Islam adalah satu aktiviti yang dipikulkan kepada semua umat Islam. Kewajipan mereka dalam pendidikan Islam bukan saja sebagai pelajar dan pengajar tetapi mereka juga berperanan dalam menyediakan prasarana yang mendokong pendidikan berkenaan berjalan dengan baik dan berkesan seperti dana, tempat dan sokongan spiritual. Perkembangan pendidikan Islam juga dipengaruhi oleh perkembangan dan penyebaran Islam baik dari segi politik, ekonomi dan kebudayaannya. Berikut adalah ringkasan perkembangan institusi pendidikan Islam sejak bermulanya kedatangan Islam hinggalah sekarang.

a) Dar al – Arqam

Rumah merupakan tempat pendidikan awal yang diperkenalkan ketika Islam mula berkembang di Mekah. Rasulullah SAW menggunakan rumah Arqam bin Abi al – Arqam sebagai tempat pertemuan dan pengajaran agama baru kepada para sahabat

( Dr. Ahmad Syalabi, 1980 ) secara sulit selama tiga tahun ( Zawawi Hj Ahmad, 1984 ). Bilangan kaum muslim yang hadir pada peringkat awal adalah terlau kecil tetapi semakin bertambah dari masa ke semasa yang terdiri daripada golongan bangsawan Quraisy, pedagang dan hamba sahaya. Di Dar al – Arqam, Rasulullah SAW mengajar wahyu yang telah diterima baginda kepada kaum muslim dan memberikan penerangan serta motivasi untuk kekuatan iman mereka. Baginda juga membimbing mereka menghafal , menghayati dan mengamalkan ayat- ayat Al-Quran yang diturunkan kepada baginda SAW.( Zawawi Hj Ahmad, 1984 )

 

b) Masjid

Dalam sejarah, masjid adalah satu-satunya institusi tertua untuk mempelajari berbagai ilmu pengetahuan.( Drs Hanafi Mohammed, 1996 ). Fugsi masjid selain daripada tempat untuk beribadat, ia adalah tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam, tempat menyelesaikan masalah individu dan masyarakat, ( Dr. Laili Abd Rasyid Attar, 1998 ) tempat menerima duta-duta asing, tempat pertemuan pemimpin-pemimpin Islam, ( Dr Ali Khalil Mustafa Abu al-Ainain ) tempat bersidang , kegiatan sosial untuk kebajikan ummat dan juga madrasah bagi kanak-kanak untuk mempelajari ilmu agama khususnya ilmu fardhu ain. Sebab itulah perkara pertma yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam ketika sampai ke Madinah ialah mendirikan masjid kerana melaluinya dapat menyatupadukan perpecahan kaum dan sebagainya.

( Abdul Rahman al – Nahlawi, 1999 ) Di antara masjid yang terkenal pada ketika itu ialah Masjid Nabawi dan masjid Quba’ di Madinah, Jamie’ Amru dan Jamie’ Ibnu Thulun di Kaherah ( Muhammed Atiyyah al – Abrasyi ) dan banyak lagi masjid yang lain. Pembelajaran yang dijalankan di masjid ketika itu merangkumi ilmu-ilmu ugama seperti Tafsir, Hadith dan mempelajari Al- Quran dan seterusnya berkembang kepada mempelajari cabang-cabang ilmu Islam yang lain seperti Ilmu Kalam , Fiqh , Falsafah dan lain-lain.

Guru yang mengajar pada ketika itu terdiri daripada orang-orang yang berpengalaman dan semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru tersebut akan duduk diatas tikar atau bantal dan kadang-kadang di atas kerusi atau tempat yang tinggi supaya orang yang hadir dapat mendengar pengajarannya manakala murid-murid duduk mengelilinginya dalam bentuk halaqah untuk mendengar dan bersoal- jawab berkaitan dengan ilmu yang diajarkan, urusan ugama dan kehidupan seharian. Pengajaran lazimnya akan dimulakan dengan Basmalah dan Selawat dan kadang-kadang dengan bacaan ayat Al-Quran atau Hadith yang bersangkutan dengan kelebihan menuntut ilmu dan mengakhiri pengajaran mereka dengan ucapan “Allahu A’almu wa Rasuluhu” diikuti dengan bacaan al-Fatihah, doa dan salam. ( Dr. Muhammed Munir Mursi, 1986 )

 

c) Al Suffah

Al-Suffah Merupakan ruang atau bangunan surau yang bersambung dengan masjid. Suffah merupakan tempat untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat seperti memberi perlindungan kepada orang-orang fakir dan perantau. ( Ahmad Nasib al- Mahamid, 1991 ). Antara sahabat yang pernah berlindung dalam al-Suffah ialah Abu Hurairah Radiallahu anhu.

Al-Suffah boleh dilihat sebagai sebuah sekolah kerana kegiatan pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara sistematik dan teratur contohnya masjid Nabawi yang mempunyai Suffah yang digunakan untuk majlis ilmu. Pembelajaran di Al-Suffah bukan setakat mempelajari Al-Quran pada waktu malam sahaja akan tetapi kebanyakan mereka juga mempelajari cara menulis dan ilmu-ilmu yang lain pada waktu siang. ( Ahmad Nasib al- Mahamid , 1991 )

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah melantik para sahabat yang berkebolehan untuk menjadi guru. Di samping itu Baginda juga memerintahkan orang-orang tawanan Badar yang pandai menulis dan membaca supaya tiap-tiap seorang dari mereka mengajar sepuluh orang kanak-kanak muslim di Madinah sehingga pandai bagi menebus diri mereka dari menjadi tawanan perang. ( Muhammed Atiyyah al – Abrasyi, 1975 )

d) Al- Kuttab

Kuttab ditubuhkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi bertujuan untuk memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak di peringkat rendah seperti membaca dan menulis sahaja. Kuttab merupakan ruang atau bilik kecil atau khemah yang dibina berhampiran dengan masjid dan keluasannya semakin bertambah mengikut keramaian murid-muridnya.

Objektif utama pendidikan al-Kuttab ialah menghafal Al-Quran dan mempelajarinya dan juga belajar menulis. Setelah mahir barulah diajarkan ilmu-ilmu yang lain seperti Nahu dan Ilmu Hisab. Peringkat pembelajaran di al-Kuttab merupakan peringkat asas bagi seseorang kanak-kanak pada ketika itu sehinggalah ia dewasa dan meneruskan pembelajarannya di masjid.

Guru yang mengajar di Kuttab itu mestilah hafal Al-Quran dan ianya menjadi syarat utama dan penting. Guru tersebut juga mestilah mengetahui ilmu-ilmu ugama dan tahu membaca dan menulis dan mahir dalam bidang ilmu yang lain seperti Bahasa , adab dan lain-lain. ( Dr muhammed munir Mursi, 1986 )

Selepas kurun kedua hijrah bilangan al-Kuttab dan tenaga pengajarnya semakin bertambah ( Dr Ahmad Syalabi, 1980 ) di mana setiap kampung didirikan sebuah Kuttab atau lebih.( Dr Abd Rahman Abd Rahman Naqib, 1984 ) Orang-orang Islam pada ketika itu berlumba-lumba untuk mendirikan Al-Kuttab semata-mata untuk medekatkan diri kepada Allah Taala dan menyebarkan ilmu bagi seluruh masyarakat baik yang miskin ataupun kaya. Antara Kuttab yang terbesar ialah Kuttab Abil Qasim Al-Balkhi di Baghdad yang boleh menampung kira-kira tiga ribu orang murid sekaligus. ( Dr Ahmad Syalabi, 1980 )

e) Dur Al-Hikmah atau Dur Al- Ilm

Pada zaman Abbasiah, orang-orang Islam telah pun bercampur gaul dengan bermacam-macam bangsa dan kebanyakan mereka ini terpengaruh dengan kemajuan dan budaya yang di bawa oleh bangsa tersebut. Dalam hal demikian, ulama-ulama Islam semakin berkembang pemikiran dan peradaban mereka dan bersaing untuk mempelajari ilmu-ilmu yang baru daripada mereka serta banyak membuat terjemahan buku dari bahasa asing ke bahasa Arab khususnya falsafah Greek. ( Muhammed Atiyyah al- Abrasyi, 1975 ) Mereka juga berlumba-lumba untuk mengumpulkan hasil tulisan mereka di Darul Al- Hikmah untuk menjadi rujukan dan bahan kajian orang ramai. Tempat ini juga menjadi tempat rujukan ulama-ulama dan orang yang menuntut ilmu. Antara Dur al- Hikmah yang terkenal ialah Bait al- Hikmah di Baghdad yang di asaskan oleh Khalifah Harun al – Rasyid.( Dr Muhammed Munir Mursi, 1986 )

 

f) Rumah-rumah Ulama’ dan Istana Khalifah :

Penyebaran ilmu pada zaman Abbasiah berlaku begitu pesat sekali sehinggakan orang ramai boleh datang sendiri ke rumah-rumah ulama’ untuk menuntut ilmu secara langsung dari mereka. Contohnya Ibnu Sina yang membukakan rumah beliau untuk orang ramai tetapi pada waktu malam sahaja kerana pada siang harinya beliau sibuk mengubati pesakit. ( Muhammed Atiyyah al – Abrasyi, 1975 ) Begitu juga Imam Ghazali di mana orang ramai sering datang ke rumahnya untuk mengambil ilmu dan mempelajari kitab-kitab yang terdapat di rumah beliau. ( Dr Ahmad Syalbi, 1980 )

Sebelum sekolah berkembang, rumah-rumah ulama dan istana pembesar-pembesar adalah tempat berkumpulnya ulama dalam persidangan ilmu untuk berbincang, berdebat serta menyelesaikan masalah-masalah ilmiah.Walaupun demikian, terdapat istana pembesar-pembesar yang menetapkan peraturan yang khusus bagi orang yang berkeinginan untuk memasukinya mengikuit protokol tertentu. ( Muhammed Atiyyah al- Abrasyi, 1975 )

f) Madrasah

Madrasah Baihaqiyah merupakan madrasah yang pertama didirikan oleh penduduk Naisabur iaitu pada kurun ke-5 hijrah. Ia mula didirikan sebagai menggantikan masjid-masjid yang pada ketika itu tidak lagi dapat menampung keperluan pendidikan dari segi ruang dan kelengkapan pembelajaran.

Setengah pendapat menyatakan bahawa sekolah-sekolah yang mula-mula dibina ketika itu tidak banyak bezanya dengan masjid dari segi reka bentuk bangunannya kecuali dengan penambahan dewan untuk belajar. ( Dr Muhammed Munir Mursi, 1986 ) Kurikulum yang dilaksanakan di sekolah termasuklah subjek-subjek ugama dan juga ilmu Hisab, Tarikh, Adab dan sabagainya.

Selain kuttab, istana, rumah pembesar dan masjid, pembelajaran dan pengajaran pada ketika ini juga berlangsung di kedai-kedai buku, kedai-kedai kertas, ( Dr Ahmad Syalabi, 1980 ) pasar-pasar, hospital dan sebagainya.

 

g) Pondok atau pesantren :

Sebelum kedatangan Islam di Asia Tenggara, pendidikan terbatas kepada golongan bangsawan sahaja. Akan tetapi selepas kedatangannya, pendidikan disebarkan melalui istana, pondok (pesantren), madrasah dan surau. Di utara Semenanjung Malaysia, pondok mempunyai dua erti, pertama ia bererti rumah kecil yang bersifat sementara. Kedua ia bererti sebuah institusi pembelajaran Islam yang berbentuk tradisional dan konservatif.

Sistem persekolahan pondok ini telahpun muncul seawal kedatangan Islam di Asia Tenggara iaitu sejak abad ketujuh.. Pusat penganjian Islam ini tumbuh dengan meluasnya di Pattani, Tanah Melayu dan juga Acheh. Di Tanah Melayu dan Pattani ia di kenali sebagai pondok yang bermaksud hotel atau asrama manakala di Indonesia ia dikenali sebagai pesantren yang diambil dari bahasa Sanskrit iaitu san bererti orang baik dan tra bermaksud suka menolong.

Fizikal asal pondok ini ialah pondok atau rumah kecil yang beratapkan rumbia atau nipah biasanya terletak di bawah pokok yang rendang sahaja dan ia juga dibina bertujuan untuk tempat tinggal pelajar pengajian Islam yang terletak berhampiran dengan surau atau masjid dengan bilangan keramaian murid yang terhad.

Subjek-subjek yang diajarkan termasuklah Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Hadith dan Tafsir. Manakala bahasa penghantarnya ialah bahasa Arab dan Melayu. Antara pondok yang masih terkenal hingga kehari ini ialah Pondok Bunut Payong di Kelantan Malaysia dan Pondok Moden Darussalam Gontor di Jawa Timur, Pondorogo.

 

h) Sekolah

Perubahan cara hidup pada masa kini dan kesedaran kerajaan akan kepntingan pendidikan anak bangsanya telah menyumbang kepada banyaknya berdiri sekolah-sekolah yang wujud pada hari ini. ( Abd Rahman al- Nahlawi, 1999 ) Pada masa ini sekolah di anggap sebagai institusi pendidikan formal yang utama. Ia merupakan satu sistem pendidikan yang tersusun yang memberikan pendidikan dan kemahiran asas kepada kanak-kanak seperti menulis, membaca ( Dr Laili Abd Rasyid Attar, 1998 ) dan mengira. Selain mengajarakan ilmu-ilmu asas sekolah juga merupakan institusi pendidikan Islam formal yang utama kerana di sanalah pengetahuan agama Islam serta penyerapan nilai-nilai Islam mula disemai dalam peribadi kanak-kanak Islam.

Persekolahan yang mengajar pendidikan Islam khususnya di Asia Tenggara berbeza antara satu Negara dengan Negara yang lain. Sebahagian negeri masih mengamalkan system dualisma dalam pendidikan dengan mengasingkan sekolah pendidikan Islam dengan sekolah yang mengajarkan disiplin akademik. Sementara itu banyak juga yang meyepadukan pendidikan Islam dengan akademik dalam satu bumbung sekolah. Di peringkat rendah, kurikulum pendidikan Islam kebanyakannya tertumpu kepada ilmu-ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah yang merangkumi ilmu Tauhid, Fiqh, Al-Quran, Akhlak dan Sejarah Islam. Pada peringkat menengah, pendidikan Islam biasanya diajarkan sebagai satu mata pelajaran sahaja. Untuk mengimbangi kefahaman Islam dengan arus perkembangan moden, setengan negeri menambahkan pendidikan Islam di sekolah menengah dengan mata pelajaran Tasawwur Islam dan kemudian menambahkan pengetahuan mereka dengan pelajaran Tamadun Islam pada peringkat pengajian Tinggi.

Sekolah-sekolah yang didirikan khusus untuk pengajian Islam biasanya memfokuskan kurikulum untuk mendalami pengajian Islam dan kebanyakkannya menggunakan bahasa pengantar Bahasa Arab dengan lanjutan sastera Arab. Sesetengah sekolah menjalankan polisi pendidikan yang memfokuskan kepada pengajian Islam sahaja dan sebahagian yang lainnya menjalankan polisi bersepadu dengan mengajarkan bidang akademik di samping pengajian Islam.

 

i) Pengajian Tinggi Islam

Semakin berkembang sesebuah Negara Islam maka semakin meningkat juga perkembangan pendidikan Islamnya. Perubahan zaman dan tuntutan masyarakat, pertumbuhan institusi sekolah dan berkembangnya pemikiran Islam adalah antara factor yang menyebabkan tumbuhnya institusi pengajian tinggi Islam samada universiti, kolej universiti, institute ataupun peringkat maktab. Selain daripada pengajian Islam institusi berkenaan juga mulai menumpukan pengajian kepada disiplin-disiplin akademik yang diperlukan oleh masyarakat dan ummah Islam. Gagasan Islamisasi Ilmu juga memberikan perubahan kepada falsafah dan system institusi berkenaan dengan menawarkan kursus-kursus akademik yang berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam. Selain daripada Universiti Al-Azhar, telah muncul begitu banyak institusi pengajian tinggi Islam di Timor Tengah dan juga di Nusantara.

j) Keluarga

Keluarga khususnya ibu bapa merupakan institusi pendidikan terpenting dalam pembentukan keperibadian muslim yang salih. Banyak pendapat bersetuju bahawa keluarga punyai peranan yang lebih penting daripada sekolah kerana tali perhubungan dan yang rapat dengan kanak-kanak (ahli keluarga), lebihan masa bersama serta pergaulan yang lebih mesra selain kewajipan dan pemberian hak pendidikan kepada anak-anak. Pendidikan yang berlaku di sekolah adalah terhad kepada pengajaran pengetahuan asas dan bimbingan yang amat terbatas dalam waktu yang singkat. Sementara keluarga adalah penerus pendidikan sekolah dalam lebihan masa dan kebebasan bertindak yang luas kepada ibu bapa.

Di rumahlah penghayatan ajaran-ajaran Islam diperaktikkan dengan berkesan mulai dari bangun tidur hinggalah kanak-kanak kembali untuk tidur. Sebab itu pengetahuan dan penghayatan ajaran Islam perlu dimiliki oleh setiap ibu bapa kerana merekalah yang akan menjadi qudwah ikutan serta pembimbing sebenar kepada aktiviti anak-anak mereka. Pola kehidupan keluarga biasanya mempengaruhi tindak tanduk anak-anak. Jika soleh aktiviti keluarga maka akan lahirlah anak-anak yang soleh dan begitulah sebaliknya sebagaimana perkara ini jelas dalam Hadith Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

 

k) Masyarakat

Sekolah dan rumah merupakan institusi pendidikan utama yang memikul tanggungjawap dalam memberikan pendidikan Islam yang sempurna bagi seseorang individu. Akan tetapi tanggungjawap ini tidak terbatas kepada dua buah institusi ini sahaja bahkan terdapatnya institusi pendidikan yang amat berpengaruh dalam membentuk peribadi seseorang samada secara langsung atau tidak langsung . Dalam hal ini badan-badan kebajikan, media massa, pasar, pusat sukan, laman permainan, kedai dan tempat-tempat awam dalam pembentukan peribadi masyarakat Islam tidak dapat diperkecilkan.

Setiap unit dalam masyarakat merupakan sumber kepada penyerapan nilai-nilai Islam melalui informasi, komunikasi, interaksi dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Interaksi individu dengan unit-unit dalam masyarakat biasanya memberikan refleksi kepada keperibadiannya baik dalam tingkah laku, tindakan begitu juga aliran fikiran dan semangat kekitaan. Media dan aktiviti yang menjurus kepada pendidikan taqwa akan membawa ahli masyarakat kepada ketaqwaan sementara pengaruh yang negative dan nafsu nafsi akan mendidik ahli masyarakat kepada lalai dan kemungkaran.

 

Penutup

Perkembangan institusi pendidikan Islam sejak permulaan Islam banyak dipengaruhi oleh perkembangan dan penghayatan Islam itu sendiri. Tasawwur dan perkembangan pemikiran Islam juga memberikan banyak perubahan kepada perkembangan berkenaan. Perkembangan ini akan tetap terus berlaku selagimana fungsi dan matlamat institusi berkenaan dapat dicapai dengan efektif. Efektifnya institusi pendidikan Islam akan dapat dilihat dari penghayatan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan keluarga dan masyarakat Islam. Penghayatan ajaran-ajaran Islam yang diperolehi dari institusi berkenaan adalah keutamaan dalam membangun masyarakat dan ummah yang sebaik-baiknya. والله أعلم بالصواب

Bibliografi

 

Abd Rahman al – Nahlawi, Usul al Tarbiyah al Islamiyah , Dar al – Fikr al – maasir, 1999.

 

Ahmad Nasib al Mahamid, Al hubbu baina al Abd wa al Rabb. Dar al- fikru al maasir Lubnan , 1991.

 

Dr. Abd Rahman Abd Rahman Naqib, Buhus fi al Tarbiyah al Islamiyah, .Dar al Fikr al Arabi, 1984.

 

Dr Ahmad Syalabi , Tarikh al Tarbiyah al Islamiyah , Maktabah al Nahdah al Masriyah , 1980.

 

Dr. Ali Khalil Mustafa Abu al Ainain, Al Qiyam al Islamiyah wa al Tarbiyah , Maktabah Ibrahim Halbi,1988.

 

Drs. Hanafi Mohamed , Falsafah Pendidikan Mengikut al Quran, Pustaka Ilmi, 1996.

 

Dr. Laili Abd Rasyid Attar, Al Janibu al Tatbiqi fi al Tarbiyah al Islamiyah, Dar al nasyru wa al tauzik, 1998.

 

Dr. Muhammed Munir Mursi, Al Tarbiyah al Islamiyah Usuluha wa Tatawuruha fi al Bilad al Islamiyah, Dar al Maarif, 1986 )

 

Muhammad Atiyyah al – Abrasyi , Al Tarbiyah al Islamiyah wa falasifatuha , Dar Ihya al Kutub al Arabiyah, 1975.

 

Zawawi Hj Ahmad ,Kaedah dan Teknik Pengajaran, International Book Service , 1984.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: